50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia

Buku ini mendapat sambutan daripada para pembaca yang meminatinya. Di sini ada pendapat daripada salah seorang pembaca buku ini.

Tajuk :
50 Tokoh Islam yang Mengubah Dunia
Penulis : Ahmad Amri Zainal Adnan & Nurasyikin Ahmad
Halaman : 200
Penerbit : PTS

Sebentar tadi membaca Kumpulan Cerpen Di Dadanya Kalam Tuhan tulisan Ibnu Ahmad Al-Kurauwi. Tinggal lagi 6 buah cerpen, maka sempurnalah pembacaan buku itu. Sementara ini, ada baiknya saya selesaikan dahulu ulasan 50 Tokoh Islam yang Mengubah Dunia.

Buku ini boleh saja ditanggapi dengan pelbagai persepsi. Ada orang yang akan menjadi sangat teruja dengannya. Mungkin ada juga yang akan merasakan biasa-biasa apabila melihat kepada olahan cerita yang ringkas sahaja iaitu lebih kurang 3-4 halaman untuk setiap tokoh.

Jikalau anda seorang yang gemarkan penjelasan yang terperinci untuk setiap tokoh, buku ini mungkin tidak sesuai untuk anda. Anda perlu mencari buku biografi untuk tokoh tersebut. Tetapi, jikalau anda mahu berkenalan dengan tokoh-tokoh tersebut (in a glance view orang putih kata) dari segi latarbelakang hidup, pendidikan, bentuk perjuangan, karya dan sumbangan, buku ini sangat sesuai untuk anda. Ia merupakan sebuah buku ilmiah santai yang tidak akan memeningkan kepala pembaca. Malah, kita menjadi kagum dibuatnya terhadap tokoh-tokoh yang diceritakan. Mereka memilih jalan kehidupan perjuangan yang melelahkan seumur hidup berbanding duduk rehat-rehat yang tidak menyumbang apa-apa kepada agama dan masyarakat. Mereka boleh saja berkompromi dengan pihak yang boleh memberi keuntungan kepada diri mereka tetapi mereka korbankan itu semua untuk sebuah perjuangan mengubah masyarakat kepada yang lebih baik serta menegakkan keadilan dan prinsip.

Sesuai dengan tajuknya, buku ini mengandungi cerita 50 tokoh yang dikelaskan kepada 4 kelompok iaitu intelektual (16 tokoh), ulama (13 tokoh), pejuang agama (12 tokoh) dan politik (9 tokoh).

Saya perhatikan ada beberapa nama seperti Mustafa As-Siba’ie, Muhammad Al-Ghazali, Muhammad Al-Mutawalli Sya’rawi dan Yusuf Al-Qardhawi terkandung di dalam buku ini. Ini mengingatkan saya kepada buku 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh. Anda juga boleh lanjutkan pembacaan tokoh-tokoh tersebut pada karya Mohd Rumaizuddin Ghazali ini. Huraiannya lebih lengkap terutama apabila menyentuh tentang karya-karya yang dihasilkan.

Saya tidak mungkin menceritakan satu persatu 50 tokoh yang terlibat di dalam buku ini. Saya suka untuk mencatitkan beberapa perkara penting untuk dibuat peringatan. Mudah-mudahan ia boleh menjadi pencetus semangat buat kita.

Memetik kata-kata Muhammad Iqbal, sasterawan dari Pakistan, “Umat Islam, apabila ingin maju, perlu mampu berpacu dengan waktu. Sekali umat Islam berhenti, bererti dia membiarkan dirinya tergilis dek sang waktu” (halaman 5). Tokoh ini tidak asing buat kita. Beliau berkelulusan falsafah, kesusateraan Inggeris, bahasa Arab, dan undang-undang. Pernah berkhidmat sebagai peguam tetapi lebih terkenal sebagai seorang penyair. Siapa sangka dengan hanya tulisan pena, beliau mampu membangkitkan pemikiran rakyat dan mencetuskan pembentukan negara Pakistan. Sejarah memang selalu mengajar kita betapa hebatnya dunia tulis-menulis ini. Pena juga boleh menjadi setajam pedang. Jikalau anda mempunyai kemahiran itu, manfaatkanlah sebaik-baiknya untuk Islam. Tetapi itu semua perlukan istiqamah. Mahir menulis, tetapi tidak berakhlak dan istiqamah, tidak berguna juga. Memetik kata-kata Mustafa As-Siba’ie, “Istiqamah adalah suatu jalan yang awalnya penuh dengan kemuliaan, pertengahannya dipenuhi keselamatan dan hujungnya adalah syurga”(halaman 15).

Membaca tentang Mustafa As-Siba’ie selalu sahaja membuatkan saya kagum. Beliau ialah salah seorang ahli Ikhwanul Muslimin dan pengasas jemaah itu di Syria. Orangnya selalu masuk keluar penjara. Tetapi dalam masuk keluar penjara itu, sempat beliau sempurnakan PHDnya. Beliau antara orang yang terlibat dalam penggubalan undang-undang di Syria. Antara sumbangannya ialah memasukkan mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah dan jurusan Syariah di Universiti Syria. Diceritakan beliau mengalami lumpuh badan sebelah kiri selama 8 tahun dan sehari sebelum meninggal dunia, beliau sempat menyiapkan sebanyak 3 tulisan. Geleng kepala saya dibuatnya. Apabila musim peperiksaan sahaja, selalu sahaja blog ini menjadi kucar-kacir.

Banyak juga tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang diceritakan pada buku 50 Tokoh Islam yang Mengubah Dunia. Antaranya Sayid Sabiq. Nama ini juga tidak asing. Beliau merupakan penulis kepada Kitab Fiqh As-Sunnah. Tokoh ini juga pernah dipenjarakan. Semasa di penjara itu, beliau sempat mengadakan kuliah Fiqh kepada para tahanan dan pengawal penjara juga turut menyertai kuliah tersebut. Ada lagi nama-nama seperti Hassan Al Banna, Saiyyid Qutb, Umar Tilmisani dan Zainab Al-Ghazali. Ini orang-orang hard core Ikhwanul Muslimin. Membaca kisah mereka selalu saja membuatkan saya merasakan saya belum menyumbang apa-apa untuk Islam.

Ada juga tokoh-tokoh dari Malaysia di dalam buku ini seperti Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, ZABA dan Zulkifli Muhammad. Ini meningatkan saya kepada kata-kata Zulkifli Muhammad, “Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang orang yang hendak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang sudah digeleng” (halaman 31).

Kisah Adnan Oktar(Harun Yahya) betul-betul menginsafkan saya. Nampak macam simple sahaja perjuangannya. Menyangkal teori evolusi yang diasaskan oleh Darwin, membongkar dakyah zionis dan freemason. 3 tahun berdakwah seorang diri. Tetapi, ini juga orang yang keluar masuk penjara dan melibatkan banyak konspirasi. Malah pernah dimasukkan ke hospital sakit jiwa selama 19 bulan. Beliau juga pernah difitnah mengambil dadah dengan memasukkan dadah di dalam makanannya dan salah laku seksual. Saya insaf kerana jalan dakwah Adnan Oktar ini cuba memberitahu kepada saya tiada jalan mudah jikalau anda mahu memperjuangkan Islam kerana syurga itu sangat mahal.

Buku ini mengajar saya yang masa sangat penting. Kerja keras yang berterusan sangat penting. Tabah dan komited sangat penting. Sangat penting jikalau anda mengaku seorang yang memperjuangkan Islam. Jalannya tidak mudah. Penuh berliku-liku. Itulah jalan orang-orang yang mahu mencipta hidup yang penuh makna.

Pada ketika ini saya menjadi tidak sabar pula membaca buku ini : Belajar dari Perang Uhud tulisan Hepi Andi Bastoni. Selamat Membaca!

Wallahu alam(less)

Sumber dipetik dari : http://www.goodreads.com/book/show/7032141-50-tokoh-islam-yang-mengubah-dunia

3 Komen (+add yours?)

  1. Abdul Latip
    Feb 24, 2010 @ 04:36:33

    Assalamualaikum

    MasyaAllah…baru saya teringat…Nur Asyikin Ahmad ini seorang penulis PTS. Terima kasih dan tahniah dengan terbitnya buku-buku baru. Teruskan perjuangan…

    Balas

  2. mohamadkholid
    Feb 24, 2010 @ 07:42:17

    salam singgah… tahniah atas penerbitan buku terbaru. se’pts’lah kita…

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 46 other followers

%d bloggers like this: