Sahabat pilihan: Abdullah Bin Zubair dalam bicara agama Utusan Malaysia

BICARA AGAMA

ARKIB : 12/10/2010

ABDULLAH bin Zubair adalah seorang sahabat Nabi Muhammad. Semasa Rasulullah meninggal dunia, beliau masih kecil. Beliau adalah anak kepada Asma’ binti Abu Bakar, iaitu cucu kepada Abu Bakar as-Siddiq. Pada masa pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Zubair dilantik menjadi pegawai kanan Muawiyah menentang tentera Rom.

Pada masa itu, Muawiyah menghargai setiap kejayaan dan perkara baik yang dilakukan oleh Abdullah. Abdullah juga menunjukkan rasa hormat dan tanda setianya pada Muawiyah.

Abdullah memiliki sifat-sifat yang baik seperti beramal soleh, berpegang teguh pada agama islam dan sentiasa bertakwa kepada Allah. Perubahan sikapnya mula berlaku apabila Muawiyah melantik anak lelakinya iaitu Yazid menjadi Putera Mahkota menggantikan tempatnya.

Semasa pemerintahan Yazid, pelbagai kekejaman berlaku seperti pembunuhan ke atas Husein bin Ali di Karbala pada tahun 63 Hijrah dan serangannya ke atas Madinah. Perkara itu menyebabkan Abdullah bangkit menentang Yazid.

Namun begitu, pengaruh Yazid semakin kurang apabila masyrakat Islam benci padanya. Mereka tidak menyukai tindakan Yazid yang kejam. Pernah Yazid menyuruh Muslim bin Uqbah dan tenteranya yang lain membunuh Abdullah bin Zubair. Tetapi Uqbah meninggal dunia dan digantikan dengan al-Gusein bin Numair.

Namun, Abdullah tidak dapat ditewaskan sehingga Yazid meninggal dunia. Pada tahun 73 Hijrah, Abdullah tidak dapat bertahan apabila daerah di bawah kekuasaannya ditawan oleh tentera Abdul Malik. Ketua pimpinan tentera Abdul Malik itu adalah al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi. Peristiwa kematian Abdullah berlaku apabila beliau dikepung di Mekah selama beberapa bulan. Akhirnya, Abdullah meninggal dunia.

Sepanjang hidupnya, Abdullah seorang yang cermat dan berhati-hati dalam urusan kewangan.

Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya pernah berpesan kepadanya: “Abdullah, apabila kamu menghadapi masalah, hendaklah kamu mengadu kepada Allah. Hanya Allah sahaja tempat yang layak mengadu.”

Selepas bapanya meninggal dunia dalam peperangan menentang musuh, Abdullah berjumpa sebuah buku kecil di dalam bilik bapanya itu.

Lalu Abdullah berkata, “Buku apakah ini?”

Abdullah tidak pernah melihat buku itu. Ia sebenarnya adalah buku wang simpanan bapanya. Tanpa membuang masa, beliau memeriksa buku itu.

“Banyaknya hutang ayah yang belum dibayar. Semuanya berjumlah dua juta dirham,” kata Abdullah dengan perasaan terkejut.

Sudutan Petikan Buku Sayap dari Syurga..

Ikuti kisah selanjutnya dalam buku Sayap dari Syurga hasil tulisan Nurasyikin Ahmad terbitan PTS Islamika Sdn.Bhd.

Tinggalkan komen